20 pelajar pascasiswazah terajui kepimpinan baharu PGA UMPSA

pga umpsa 2024

KUANTAN, 5 April 2024 – Seramai 20 orang pelajar pascasiswazah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah dilantik dan diberi amanah untuk menerajui kepimpinan baharu Persatuan Pascasiswazah UMPSA (PGA) tahun 2024 dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan PGA UMPSA. 

Majlis yang berlangsung di Swiss-Belhotel, Kuantan itu telah disempurnakan oleh Dekan IPS, Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya.

Turut sama hadir adalah Dekan-dekan fakulti.

Menurut Dekan IPS, PGA memainkan fungsi yang besar sebagai jambatan penghubung antara pelajar pascasiswazah dan IPS serta memiliki tanggungjawab penting dalam membantu mencapai visi serta misi universiti sejak awal penubuhannya pada tahun 2016.

“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pemimpin PGA UMPSA dan para pelajar pascasiswazah yang telah memainkan peranan aktif dalam menganjurkan pelbagai program dan aktiviti bersama yang dapat memperkukuhkan ukhuwah serta meningkatkan pengalaman pembelajaran holistik di kalangan komuniti pascasiswazah UMPSA.

“Saya juga amat berbesar hati melihat komitmen yang diberikan oleh setiap pemimpin PGA UMPSA dan pelajar pascasiswazah dalam mengorak langkah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti melibatkan pelajar pascasiswazah termasuk program khidmat masyarakat.

“Pelaksanaan aktiviti anjuran PGA UMPSA sememangnya memberi manfaat dan impak positif kepada pelajar pascasiswazah yang terlibat,” katanya. 

Tambah beliau lagi, melalui program yang dianjurkan para pelajar berpeluang memperkukuhkan kemahiran kepimpinan serta memperluas rangkaian sosial mereka.

“Selain itu, ia juga membantu dalam dalam pembentukan sikap kerjasama dan keterampilan komunikasi dalam kalangan pelajar yang merupakan aspek penting dalam pembangunan diri mereka sebagai individu yang holistik serta berdaya saing tinggi,” ujarnya. 

20 pelajar pascasiswazah terajui kepimpinan baharu PGA UMPSA

Pihaknya turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu yang akan diketuai oleh Mohammad Hafeez Md Ramli selaku Presiden PGA UMPSA tahun 2024.

Beliau mengharapkan barisan kepimpinan PGA baharu dilantik itu dapat memikul amanah yang diberikan dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam membantu mengangkat universiti ini ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan penjenamaan baharu UMPSA.

Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada barisan kepimpinan PGA UMPSA tahun 2023 yang telah menggalas amanah dan tanggungjawab dengan baik serta pencapaian cemerlang mereka yang berjaya mengatur pelbagai aktiviti dan program yang memberi impak signifikan sepanjang tahun lalu.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya fakulti dan pusat akademik atas segala komitmen dan kerjasama dalam menyokong aktiviti-aktiviti pelajar pascasiswazah di UMPSA.

Katanya, para pelajar UMPSA adalah merupakan duta-duta kecil kepada universiti dan membawa imej positf universiti melalui sumbangan mereka dalam pelbagai bidang. 

“Penglibatan aktif mereka sejajar dengan misi universiti untuk melahirkan graduan yang tidak hanya cemerlang dari segi akademik, tetapi juga aktif dalam pembangunan masyarakat.

“Melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan, para pelajar UMPSA tidak hanya memperkayakan pengalaman mereka sendiri, tetapi juga berupaya mengembangkan kemahiran interpersonal yang penting dalam kehidupan profesional dan sosial,” katanya. 

Disediakan Oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Institut Pengajian Siswazah


Print   Email